JOHOR BAHRU – Kejayaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendapat tempat ketiga dalam perlumbaan 13 Triathlon Desaru 2024 pada hujung minggu lalu diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, menerusi siasatan dan semakan pihak penganjur mendapati Syed Saddiq tidak membuat pusingan U mengikut laluan ditetapkan.
“Penyertaan Ahli Parlimen Muar itu diisytihar sebagai DNF (Did Not Finish). Saya tidak mempunyai masalah berkenaan penyertaan mana-mana pihak untuk menyertai acara sukan khususnya yang dianjurkan di Johor.
“Namun sekali lagi saya ingin tegaskan, isu integriti dan penipuan adalah satu perkara yang serius dan tidak akan diberikan kompromi.
“Diharapkan, semua penggiat-penggiat sukan dan penggerak komuniti sebarang sukan dapat memastikan perkara ini tidak berlaku bagi membolehkan keharmonian serta semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat dapat disemarakkan lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini tular dakwaan beberapa pihak yang mempersoalkan bagaimana Syed Saddiq berjaya menduduki podium dalam acara 113 Triathlon Desaru 2024 pada Ahad lalu.
Antara dakwaan yang dipersoalkan menerusi komen-komen dalam media sosial adalah isu teknikal yang menimbulkan persoalan dan keraguan ramai komuniti sukan itu.
Susulan itu, Syed Saddiq membuat satu hantaran video dalam media sosialnya hari ini mengakui beliau tersilap.
Dalam video Instagram reel, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, susulan perbincangan dengan penganjur, statusnya dalam perlumbaan itu ditukar kepada DNF (tidak tamat).
Mengulas lanjut, Mohd Hairi mencadangkan pihak penganjur acara sukan khususnya bertaraf antarabangsa untuk menyenarai hitamkan mana-mana peserta yang terbukti melakukan penipuan bagi mendapat keputusan lebih baik.
Katanya, langkah itu perlu diambil bagi menjaga kredibiliti penganjuran acara berkenaan yang turut disertai peserta dari luar negara.
Tambahnya, perbuatan tersebut juga boleh mencemarkan nama baik kerajaan negeri yang menjadi tuan rumah kepada penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.
“Selaku Exco Belia dan Sukan Negeri Johor, saya mengambil serius perkara ini dan meminta mana-mana pihak penganjur untuk menyenarai hitam peserta-peserta yang terbukti melakukan penipuan dalam pertandingan.
“Ini bagi memastikan kredibiliti penganjuran acara berkenaan tidak terjejas oleh insiden-insiden seperti ini dan pada masa sama Kerajaan Negeri Johor yang menyokong acara seperti ini juga boleh terpalit sama dengan dakwaan atau isu integriti pengadilan dalam penganjuran sukan,” katanya. – MalaysiaGazette