Mohd Sohaimi Ishak

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah kini tidak lena tidur selepas RM126,490 ‘hangus’ akibat terpedaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa, 44, membuat laporan polis pada Jumaat lalu selepas menyedari ditipu apabila tidak menerima bayaran komisen selepas berjaya menjual pakej bilik hotel yang ditawarkan suspek.

“Mangsa yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang percetakan
mendakwa suspek menawarkan kerja sambilan secara dalam talian pada awal Μei lalu.

“Mangsa hanya perlu mendaftar di pautan yang diberikan seterusnya menjual pakej bilik hotel yang berada dalam laman web, kemudian perlu membuat bayaran modal mengikut arahan suspek.

“Mangsa dijanjikan komisen sehingga 15 peratus daripada harga pakej sekiranya berjaya menjual pakej hotel lima bintang dan 10 peratus sekiranya berjaya menjual pakej hotel kurang daripada lima bintang,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan komisen yang dijanjikan dan tugasan yang mudah telah mendaftarkan diri.

Beliau memberitahu, antara 17 Mei lalu hingga 28 Mei lalu, mangsa telah membuat 17 kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke dalam enam akaun bank berbeza.

Katanya, keseluruhan wang yang dipindahkan mangsa adalah berjumlah RM126,490 dan sebagai modal pelaburan serta bayaran cukai keuntungan bagi mengeluarkan semula modal pelaburan.

“Pada mulanya, mangsa berjaya menjual pakej hotel sehingga memperolehi komisen melebihi 100 peratus nilai modal yang mana keuntungan itu boleh dilihat di akaun mangsa dalam laman web berkenaan.

“Itu menyebabkan mangsa menggandakan lagi jumlah modal, namun akhirnya sedar ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan komisen yang diterima, sebaliknya suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan,” jelasnya.

Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya turut menjalankan siasatan bagi mengesan sama ada kes membabitkan pembabitan ‘keldai akaun’.

“Sekiranya ada (keldai akaun), tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit,” tegasnya.

Pada masa sama, Mohd Sohaimi menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan dalam talian yang menjanjikan kaedah yang mudah serta komisen yang tinggi. – MalaysiaGazette