KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi merencanakan pelan transformasi melibatkan 6,666 lot premis perniagaan dan komersil miliknya di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah tiba masa untuk satu pelan bersepadu untuk mentransformasi semua premis-premis komersil seluruh negara agar berwajah baharu, ceria, dinamik dan mampu menjadi salah satu wahana penting untuk memperkasakan lagi agenda ekonomi bumiputera.
“Selain itu juga saya turut berkongsi pengalaman mengadakan lawatan mengejut ke Institusi-institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Majlis bersetuju dengan kelulusan segera RM400, 000 untuk membaiki segera tandas-tandas, bilik guru di MRSM Terendak.
“Majlis juga bersetuju untuk memperkukuhkan lagi sistem pemantauan dan penguatkuasaan agar kebajikan pelajar terutamanya penyediaan makanan di Dewan-Dewan Selera IPMA dan MRSM terpelihara dan berada pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu, Asyraf Wajdi mempengerusikan mesyuarat Majlis MARA. – MalaysiaGazette
















