KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) mengakui mengenai isu kelewatan ‘fleet card’ daripada syarikat minyak berhubung Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menterinya, berkata, pihaknya kini menghadapi masalah pengeluaran kad tersebut daripada syarikat minyak.
“Memang saya akui ada masalah dari segi pengeluaran ‘fleet card’ oleh syarikat minyak dan kita meneruskan kerjasama dengan syarikat ini untuk memastikan lebih cepat dikeluarkan.
“Selain reinbustment dan Kementerian Kewangan juga akan mempermudahkan prosesnya dan kita juga minta syarikat melaksanakan penggunaan cash card sementara menunggu fleet card dikeluarkan,” kata Armizan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin KPDN memperincikan mengapa masih ramai penerima SKDS masih belum menerima ‘fleet card’ masing-masing.
Armizan berkata, pihaknya mengambil maklum akan masalah itu dan bekerjasama rapat dengan lima syarikat minyak tersebut untuk mempercepatkan pengeluaran kad tersebut.
Sebelum ini, sebanyak 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan kekal menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah SKDS.
Mei lalu, Armizan berkata, sejuta ‘fleet card’ akan disediakan lima syarikat minyak utama yang terlibat dalam SKDS 2.0 bagi memastikan bekalan kad tersebut sentiasa tersedia.
Kata beliau, ketersediaan kad itu akan dapat mempercepat proses permohonan 410,000 kenderaan daripada 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah SKDS 2.0. – MalaysiaGazette