Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen kerajaan mendesak agar Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Hamid Shaik Dawood digantung tugas serta merta.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata, perkara itu perlu apabila HRD Corp didedahkan dengan kepincangan pentadibran seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Berkenaan dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Shahul (Hamid). Saya telah bangkitkan juga dalam perbahasan kelmarin, kenapa tindakan tidak diambil? Saya telah nyatakan bahawa Shahul yang merupakan CEO yang begitu berkuasa.

“Saya dengar Menteri (Sumber Manusia, Steven Sim) memberi penjelasan (pagi tadi). Kakitangan kerajaan yang dipecat jawatan yang diambil tindakan, yang digantung kerja, apakah CEO ini kebal akan tindakan?” soal Rayer.

Ahli Parlimen DAP itu berkata demikian dalam pencelahan mencelah sesi penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) oleh Timbalan Menteri, M Kulasegaran di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam celahan sama, Rayer hairan mengapa Shahul Hamid tidak dikenakan sebarang tindakan oleh kerajaan atas pendedahan yang dilakukan oleh PAC dan LKAN.

“CEO ini dilantik ketika pemerintahan (Ahli Parlimen) Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri), saya telah diberitahu.

“Jadi soalan saya, saya juga telah cabar bahawa sepatutnya YB Pendang (Datuk Awang Hashim), Tapah (Datuk Seri M Saravanan) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Soalan saya, kenapa tidak ada sebarang tindakan? (Adakah) kerana tidak ada kerajaan berani ambil tindakan terhadap Shahul? Gantung dia (Shahul) serta-merta,” katanya lagi.

Sebelum ini, di Dewan Rakyat, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pihaknya akan mempertimbangkan syor membuat laporan polis berkait isu HRD Corp.

“Kita mengambil input itu sebagai satu cadangan untuk pertimbangan tetapi setakat ini kita sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) iaitu badan pencegah rasuah paling tinggi di negara kita,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast