Penjawat awam mengibarkan jalur gemilang semasa hadir ke Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 30 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan serentak dengan pelancaran Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijadualkan bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu dijangka diumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19.

“Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan berkenaan pelaksanaan SSPA yang menjelaskan mekanisme berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta perdana menteri menyatakan perincian berhubung mekanisme kenaikan gaji penjawat awam termasuk kajian kebolehlaksanaan yang telah dijalankan serta sumber tambahan yang dianggarkan mencecah RM10 bilion bagi tujuan menampung unjuran peningkatan belanja mengurus.

“Keputusan ini telah mengambil kira pelbagai aspek sosial dan ekonomi serta kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata perincian berhubung kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober ini.

Anwar berkata, perkara itu penting kerana sudah terlalu lama penjawat awam tidak menikmati kenaikan gaji yang setaraf dengan kerja keras mereka selama ini. – MalaysiaGazette