Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Sebuah sistem bersepadu yang dikenali sebagai Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (MOIES) digunakan sepenuhnya bagi mengurus data skor Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di sekolah bawah kementerian bermula sesi persekolahan 2023/2024.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan MOEIS bagi memastikan kawalan dan integriti data agar selamat dan tidak mudah dicerobohi dan sistem ini bertujuan untuk pentadbiran maklumat sekolah kementerian sahaja.

Jelas beliau, ini kerana sebelum ini KPM menggunakan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) namun tidak memiliki kawalan kepada integriti data.

“Jadi kita bangunkan sebuah sistem yang bersepadu, ada integrasi bagi memastikan kawalan dan data ini tidak mudah dicerobohi dan kita dapat kawal data ini sepenuhnya khususnya untuk sekolah sekolah di bawah KPM.

“Sehubungan itu, bagi sekolah selain bawah pentadbiran KPM, laporan dan pengumpulan skor PAJSK murid perlu dikemukakan secara offline (luar talian) melalui templat seragam yang telah disediakan oleh KPM untuk di hantar kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPI), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tujuan tawaran ke Institut Pengajian Tinggo Awam (IPTA),” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) sama ada prosedur terkait PAJSK berbeza bagi sekolah selain bawah Kementerian susulan masalah pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di universiti pilihan pertama atau kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kerana markah PAJSK kosong serta apakah tindakan bagi kes seperti itu dan langkah-langkah penyelesaian daripada berulang.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, menyedari perubahan sistem semasa ini, KPM telah menyediakan templat seragam khusus untuk sekolah swasta dan luar kemnterian yang perlu diisi dan dikemukakan secara offline.

Kata beliau, ia bagi memastikan skor PAJSK murid sekolah swasta dapat disediakan dan disalurkan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA dan KPT bagi tujuan penawaran penempatan ke IPTA.

“Buat sementara sebelum semua data dapat diintegrasikan dalam sistem sekolah sekolah selain di bawah KPM ini akan membuat secara offline.

“Dan walaupun ada isu isu berbangkit KPM telah pun mengambil semua susul tindak dan komited untuk memastikan semua markah PAJSK anak-anak ini dapat dipenuhi dan tiada keciciran,” katanya.

Fadhlina memberitahu, KPM juga  sedang memperbaiki dan menambah baik sistem ini, integrasi data ini di sekolah swasta dan di luar KPM.

Menurutnya, inisiatif tindakan ini akan menambah baik kaedah pengumpulan dan penyaluran data skor PAJSK murid sekolah swasta dan luar KPM dengan menyediakan akses perekodan data PAJSK yang sama seperti sekolah bawah KPM.

“Selain itu, KPM juga telah bekerjasama dengan pihak KPT bagi menyelaras data skor PAJSK agar isu ini tidak lagi berbangkit di masa hadapan.

“Jaminan yang saya akan bagi kepada berdasarkan soalan ini ialah tiada murid yang tercicir daripada data kita untuk masuk ke universiti,” katanya. – MalaysiaGazette