Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

KUALA LUMPUR- Takrif Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah tidak wajar disempitkan dengan hanya bersumberkan aliran Al-Syairah dan Al-Maturidiah manakala dari sudut fiqh hanya daripada Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan dari sudut tasawuf adalah bersumberkan Imam Ghazali dan Imam Junaid, demikian titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Titah baginda, tindakan seumpama itu adalah tidak bersifat inklusif bahkan membawa kepada elemen sektarian dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Beta juga selama ini tidak ambil maklum bahawa perkara berkaitan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah serta mengehadkan mazhab ini telah diputuskan secara konsensus serta menepati prinsip syura dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Sayugia beta kongsikan bahawa selaras dengan Perkara 5 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948, telah memperuntukkan mengenai Agama Negeri Perlis adalah agama Islam Ahli Sunnah Waljama’ah seperti yang telah diamalkan di dalam negeri,” baginda bertitah di dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tuanku Syed Sirajuddin, sebagai ketua Agama Islam Perlis, baginda bertanggungjawab untuk memastikan pemahaman agama Islam itu berada dalam keadaan harmoni, mengutamakan perpaduan sejagat dan terhindar daripada anasir ekstrem yang mengenepikan kepelbagaian pandangan serta khazanah ilmu cendekiawan Islam dalam sejarah Islam.

“Keluasan pandangan dalam pelbagai cabang amalan agama, telah sekian lama diterima dan diamalkan oleh umat Islam di dalam negara ini serta turut meraikan perbezaan pandangan di seluruh dunia,” titah baginda.

Raja Perlis bertitah demikian susulan polemik yang timbul ekoran pembentangan Rang Undang-Undang berkaitan Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 melalui bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Tambah baginda, sesuatu undang-undang yang ingin digubal hendaklah dipertimbangkan dengan sewajarnya terutama yang perlu diluluskan oleh Sidang Parlimen.

Berikut kenyataan penuh Raja Perlis Sultan Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail:

Kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau Perlis

-MalaysiaGazette