Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

GOMBAK – Seramai 10 lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat dalam kes ugutan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelakidi rumah kongsi di Taman Ehsan, Kepong dekat sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan itu dibuat selepas polis mengesan video tular berdurasi lapan minit 36 saat membabitkan perselisihan faham antara seorang warga tempatan dengan lelaki warga asing di lokasi kejadian.

Pada masa sama,  polis turut menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun berkaitan perselisihan faham yang berlaku sehingga menyebabkan ugutan dan mendatang kecederaan terhadap seorang lelaki asing berusia 37 tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku pada jam 5 petang 10 Julai lalu membabitkan mangsa yang tinggal bersama warga asing lain di rumah kongsi terbabit.

“Hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham berkaitan tunggakan bayaran rumah kongsi sehingga mangsa diugut dan dipukul di bahagian dada.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit  dada dan mendapatkan rawatan di Hospital Selayang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas laporan polis dan maklumat, polis menahan seramai 10 lelaki warga asing berusia 19 hingga 46 tahun sekitar jam 3 petang pada hari sama.

Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian jenayah itu kini direman empat hari bermula hari ini hingga Ahad depan untuk tindakan susulan.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah yang boleh membawa penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

Siasatan turut dikendalikan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast