PUTRAJAYA – Kerajaan sedia meminda Akta Anti Lompat Parti bagi menutup kelompongan dalam akta berkenaan selepas kerusi enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang menyokong perdana menteri tidak dikosongkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu perbincangan akan dibuat antara kerajaan dan pembangkang bagi memperkukuhkan lagi akta tersebut.
“Ya (akan pinda), kalau nak pinda tak apa.
“Kita bincang pindaan supaya siapa sahaja (yang melanggar akta), biar jelas dahulu dia (Bersatu) yang menentang ramai tidak tahu.
“(Dulu) kita dalam PH usul supaya dijelaskan siapa sahaja ditolak dari parti automatik gugur (Ahli Parlimen).
“Dia (Bersatu) menentang keras sampailah kita bertolak ansur jadi undang-undang sekarang,” katanya selepas solat Jumaat di Surau An-Najah Presint 9, Putrajaya hari ini.
Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan media sama ada terdapat keperluan untuk kerajaan meminda lagi Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan.
Ia susulan pengisytiharan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengosongkan keenam-enam kerusi Parlimen yang bertindak menyokong Anwar.
Semalam, Anwar mempertahankan keputusan Johari yang membuat keputusan untuk tidak mengosongkan enam kerusi parlimen Bersatu, dengan alasan ia dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.
Anwar turut menggesa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membaca tafsiran undang-undang anti lompat parti seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh, bukannya secara selektif.
Pada 5 Oktober 2022, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September 2022.
Akta itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu dengan sokongan majoriti seramai 209 Ahli Dewan Rakyat dan sokongan majoriti seramai 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos.
Rabu lalu, Muhyiddin berkata, Bersatu menerima surat makluman bertarikh 9 Julai daripada Johari bahawa enam bekas ahli Parlimen parti itu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Anwar kekal sebagai wakil rakyat.
Enam ahli Parlimen yang dikekalkan kedudukan sebagai wakil rakyat walaupun keahlian mereka digugurkan daripada Bersatu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). – MalaysiaGazette