Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kejadian buli siber dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan berusaha menghentikan insiden itu daripada berterusan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah berhubung dengan pihak TikTok untuk mengambil tanggungjawab ke atas kejadian itu dan perkhidmatan rangkaian media sosial itu bersedia untuk memberikan kerjasama kepada kementerian.

Jelas beliau, bagi mengambil langkah segera, pihak kementerian akan bertemu dengan pengurusan TikTok pada minggu hadapan.

“Bagi aspek pengurusan atau pentadbiran iaitu kelancaran hubungan di antara pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan isu yang dihadapi oleh rakyat di mana kadang-kala pengadu akan pergi balai polis untuk membuat laporan, kemudian mereka diminta membuat laporan ke MCMC dan MCMC meminta mereka untuk buat laporan polis dan perkara itu berulang.

“Jadi masalah ini telah dikenal pasti dan MCMC dan PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah telah bersetuju untuk meneliti dan memudahkan proses untuk membuat laporan bagi para pengadu.

“Pada masa yang sama, Anwar juga telah menyatakan rasa cukup tidak puas hati beliau terhadap kejadian-kejadian buli siber dan beliau telah meminta supaya MCMC dan PDRM mengambil tindakan yang sangat tegas dan kita perlu berusaha untuk menghentikan buli siber daripada berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kementerianya di sini, hari ini.

Fahmi menambah, pihak juga sudah mengadakan perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said,  wakil Kementerian Digital dan Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Peguam Negara serta pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman

Katanya, terdapat tiga langkah utama yang akan diambil, pertama meneliti pindaan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Media serta beberapa undang-undang

“Pihak kementerian juga akan meneliti sekiranya ada keperluan untuk mewujudkan atau gubal akta baharu khusus untuk buli siber.

“Sebelum ini pernah diadakan kaji selidik mengenai isu buli siber namun tidak diteruskan oleh kerajaan sebelum ini. Laporan itu ada dan kita akan teliti semula serta lihat sama ada sesuai kita untuk dibawa ke Parlimen atau perlu penambahbaikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast