Puspa P. Rajagopal, ibu kepada pempengaruh Tik Tok, A.Rajeswary atau dikenali sebagai Esha

GOMBAK – Ibu kepada pempengaruh Tik Tok, A.Rajeswary atau dikenali sebagai Esha hari ini hadir membuat laporan polis berhubung kes buli siber berkaitan anaknya di media sosial.

Ibu mangsa, Puspa P. Rajagopal, 56, berkata, laporan dibuat terhadap dua lelaki dan seorang wanita yang didakwa memuat naik video dan membuat siaran langsung di media sosial.

“Selepas anak saya meninggal dunia, ada beberapa orang membabitkan wanita yang juga bekas pegawai polis mempertikaikan Esha pernah ditahan polis sebelum ini,” katanya pada pemberita.

Terdahulu, ibu Esha hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sekitar jam 6.05 petang dengan ditemani menantunya dan selesai memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kira-kira pukul 8 malam tadi.

Dalam pada itu, wanita terbabit turut mempersoalkan tindakan individu yang masih bercakap mengenai Esha.

Keadaan itu sekaligus menyebabkan ibu Esha mengalami tekanan hingga sakit dada sejak anaknya meningga dunia.

“Anak saya sudah tiada tetapi mereka (netizen) ini masih lagi bercakap mengenai Esha sampai dua kali saya alami sakit dada bila melihat sendiri video serta siaran langsung (live) mereka.

“Saya sedih bila mereka kata anak saya kurang ajar. Mendengar kutukan dan hinaan mereka ini, hati saya jadi luluh sampai nak mati juga. Kami pun ada maruah sama macam orang lain.

“Malah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) pun sudah cakap supaya hentikan buli siber pada anak saya tapi ia masib berlaku sampai hari ini,” luahnya dengan penuh sebak.

Susulan itu, Puspa berharap pihak polis segera mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang melakukan jenayah buli siber supaya
dibawa ke muka pengadilan.

“Saya merayu dan berharap sangat perkara ini dihentikan dan saya tidak mahu orang lain pun alami apa yang saya lalui ketika ini sebagai seorang ibu yang kehilangan anak disebabkan jenayah buli siber,” jelasnya.

Terdahulu, polis telah menahan dua individu pada 8 dan 10 Julai disyaki
melakukan buli siber terhadap Esha.

Tangkapan selepas Esha yang juga aktivis ditemui meninggal dunia sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan seksual terhadapnya di media sosial.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast