Gambar hiasan.

KUANTAN – Seramai 12 lelaki warga Indonesia antara 323 individu dicekup atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah menerusi Ops Hawk yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang dalam tempoh empat hari bermula 9 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan dibuat hasil serbuan di sebuah bilik pusat hiburan sekitar Genting Highlands Resort, Bentong pada 11 Julai lepas.

“Hasil pemeriksaan pihak kami telah merampas 439.36 gram dadah jenis Methamphetamine, 5.03 gram/18 biji pil Eramin 5, 2.42 gram ketamine, 0.97 gram pil Ecstacy dan 0.88 liter cecair Methamphetamine dengan nilai keseluruhan RM6,223.00,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin

Kesemua suspek yang positif Methamphetamine itu direman sehingga 17 Julai ini bagi melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, Noor Hisam berkata, menerusi Ops Hawk itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM 97,147.00 hasil daripada 193 serbuan menerusi 387 pemeriksaan yang dilaksanakan di sarang-sarang penagihan dadah, pusat hiburan dan di kawasan hot spot di semua 11 daerah di negeri ini.

Beliau berkata, keseluruhan tangkapan membabitkan 319 orang lelaki dan empat perempuan berumur lingkungan 16 tahun sehingga 63 tahun.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 42 orang tangkapan di bawah kategori kesalahan bekalan/pengedaran, 77 kategori kesalahan memiliki (dadah) dan 204 orang bagi kesalahan urin,” katanya.

Melalui operasi itu juga, Noor Hisam berkata JSJN turut berjaya mengesan dan menangkap lapan lelaki yang dikehendaki atas kesalahan dadah.

Jelas beliau, hasil semakan rekod lampau, daripada keseluruhan tangkapan dilakukan, seramai 32 orang berpotensi untuk dituduh di bawah seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – MalaysiaGazette