Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun, memandangkan jangkaan peningkatan dalam pengeluaran pada minggu hadapan, kata peniaga minyak sawit David Ng.

“Kami menjangkakan harga akan diniagakan di antara RM3,850 satu tan dan RM4,050 satu tan minggu hadapan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata pasaran MSM akan diniagakan dalam julat RM3,700 hingga RM3,800 satu tan.

“Ini pada asasnya adalah pembetulan teknikal disebabkan oleh inventori tinggi yang dilaporkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk Jun, iaitu sekitar 1.8 juta tan,” katanya.

Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta Julai 2024 turun RM118 kepada RM3,970 satu tan, Ogos 2024 susut RM105 kepada RM3,948 satu tan, September merosot RM127 kepada RM3,915 satu tan.

Kontrak Oktober 2024 berkurangan RM134 kepada RM3,892 satu tan, November 2024 jatuh RM133 kepada RM3,884 satu tan, dan Disember 2024 turun RM128 kepada RM3,891 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 300,702 lot daripada 328,205 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 221,682 kontrak daripada 233,507 kontrak minggu lepas.

Harga fizikal MSM bagi Julai Selatan turun RM100 kepada RM4,030 satu tan daripada RM4,130 satu tan pada minggu sebelumnya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast