Foto: Fb Mohamad Sabu

TELUPID – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha mentransformasikan operasi pasar tamu tanpa menghilangkan identiti keunikannya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pasar tamu diadakan secara mingguan di Sabah serta Sarawak bagi menjual barangan tani, dan meskipun pasar itu dinaik taraf ia masih mengekalkan budaya setempat sekali gus mempromosikan produk usahawan tempatan.

Beliau berkata, FAMA telah menaik taraf enam pasar tamu sedia ada antaranya Pasar Tamu Sook Keningau pada 2017, Pasar Tamu Dataran Tomborungus di Kudat (2019), Pasar Tamu Kunak (2020), Pasar Tamu Beluran (2021), Pasar Tamu Tuaran (2023), dan terbaru Pasar Tamu Telupid.

“Setakat tahun lepas FAMA telah membelanjakan RM5.36 juta bagi usaha menaik taraf pasar tamu itu, dan terdapat 41 tapak pasar tamu sedia ada yang akan dinaik taraf bermula tahun ini dengan kos RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Pasar Tamu Telupid kepada Majlis Daerah Telupid Sempena Road To MAHA 2024 @ Sabah di sini hari ini.

Mohamad berkata, operasi pasar tamu masih sepenuhnya di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan.

Berkaitan projek naik taraf Pasar Tamu Telupid itu, katanya pembinaannya bermula pada 20 Mac tahun lepas serta siap pada 18 Mac tahun ini dengan kos RM852,000 sekali gus memanfaatkan 100 usahawan untuk menjalankan perniagaan di pasar itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast