KUALA LUMPUR – Pembangunan sistem data baharu Budi Madani tidak membabitkan sebarang peruntukan tambahan daripada kerajaan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, ini kerana sistem itu tidak melibatkan sebarang kos dan capaian data serta maklumat diperolehi daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau berkata, pembangunannya hanya menggunakan kepakaran dalaman melibatkan kakitangan kerajaan untuk mengumpul segala maklumat bagi bantuan diesel.
“Budi Madani adalah (pembangunan) dari dalaman, jadi tiada kos yang terlibat kerana dibangunkan kakitangan kerajaan. Ia adalah pembangunan (secara) dalaman.
“Sistem ini (dibangunkan) oleh LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), kita mempunyai pakar jadi tidak membabitkan sebarang kos,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sementara itu, Hui Ying berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk menilai semula jumlah bantuan tunai subsidi diesel RM200 melalui Budi Madani sekiranya harga runcit bahan bakar itu mencatatkan peningkatan pada masa hadapan.
Beliau berkata ketetapan berkenaan kadar subsidi ketika ini bagaimanapun mencukupi bagi menampung kos diesel bulanan tambahan.
Menurutnya, kadar berkenaan dibuat berdasarkan kajian daripada Jabatan Perangkaan (DOSM).
“Kerajaan akan mengkaji jumlah pemberian subsidi (diesel) dari semasa ke semasa. Ketetapan jumlah bantuan RM200 sebulan adalah hasil kajian mendalam dan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemilik kenderaan, pakar ekonomi dan industri.
“Berdasarkan data Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 dikeluarkan DOSM berkaitan perbelanjaan bulanan bahan bakar diesel isi rumah, dianggarkan RM200 adalah jumlah mencukupi untuk menampung kos diesel bulanan tambahan bagi 80 peratus isi rumah di Semenanjung.
“Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa, termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa jika perlu.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai ketetapan jumlah bantuan tunai Budi Madani jika harga diesel meningkat di masa akan datang. – MalaysiaGazette