JOHOR BAHRU – Seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan selepas melanggar seorang anggota polis trafik di Kilometer 3.6 Jalan Pantai di sini semalam.
Mahkamah Majistret di sini membenarkan reman selama empat hari terhadap lelaki tersebut yang berusia 30-an bermula hari ini hingga Khamis depan.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bawah Seksyen 44 (1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu bawah pengaruh alkohol.
Pada Ahad, seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera parah dilanggar seorang lelaki yang memandu kereta dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7.05 pagi semasa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu sedang mengawal aliran trafik sejurus berlaku satu kemalangan.
“Kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang membuat kawalan lalu lintas satu kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas sendiri di lorong kanan Kilometer 3.6 Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya.
“Semasa proses penundaan sedang dilakukan, tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Wira warna Perak dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota polis trafik yang sedang berdiri di sebelah trak tunda,” katanya
Katanya, akibat kemalangan tersebut mangsa, 30-an tercampak atas cermin hadapan Proton Wira berkenaan sebelum melambung dan terjatuh tengah jalan.
Mangsa ujarnya, mengalami kecederaan patah tulang pinggul sebelah kiri, luka di muka dan dagu selain luka bahagian tangan kanan. – MalaysiaGazette
Anggota polis trafik melambung, parah dilanggar pemandu mabuk