KUALA LUMPUR – Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disediakan kepada murid kategori miskin tegar mencatat sejarah apabila menyediakan peruntukan tertinggi bagi dua tahun berturut-turut.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sejumlah RM716 juta diperuntukkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk RMT bagi tahun ini dan RM777 juta sepanjang 2023.
Menurut beliau, jumlah itu lebih tinggi berbanding RM616 juta peruntukan untuk RMT bagi tahun 2022.
“KPM menyediakan peruntukan paling tinggi dalam sejarah bagi memanfaatkan anak-anak dari keluarga berpendapatan yang di bawah garis kemiskinan nasional.
“Ia juga memanfaatkan murid di sekolah orang asli dan murid berkeperluan khas,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, peruntukan RMT diberikan bagi memastikan murid bukan hanya mendapatkan sarapan, malah menu disediakan juga mempunyai nutrisi sesuai untuk tujuan pembesaran mereka.
Mengenai harga makanan di kantin sekolah, Kah Woh berkata, ia dipantau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan bersesuaian keperluan murid.
Sementara itu, Kah Woh berkata, KPM komited memberikan pendidikan percuma dengan menyalurkan 18 jenis bantuan persekolahan iaitu lima jenis bantuan persekolahan umum dan 13 jenis bantuan persekolahan khusus.
Beliau berkata, bantuan persekolahan umum adalah untuk memastikan setiap murid di Malaysia mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing sama ada dalam kurikulum mahupun kokurikulum. – MalaysiaGazette