PUTRAJAYA – Menyedari keperluan bagi mewujudkan keseimbangan antara Skim Perkhidmatan Kehakiman Syariah dan Perkhidmatan Sivil, Kerajaan Perpaduan mempertimbangkan untuk mewujudkan Akta Saraan Hakim Syarie.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kewujudan akta berkenaan bertujuan agar tiada lagi pandangan yang merendahkan status Hakim Syarie.
“Saya juga dimaklumkan tentang Akta Saraan Hakim-hakim Syarie (kerana) sekarang ikut dalam skim (perkhidmatan) PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik) biasa.
““Jadi insya-Allah saya minta Menteri Agama untuk menyegerakan RUU ini kita angkat supaya ada Akta Saraan Hakim Syarie agar dapat ditingkatkan.
“Saya mudah sahaja, runding baik-baik, selesai,” katanya dalam ucapan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia, di Putrajaya, hari ini.
Hadir sama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Jelas Anwar, keperluan itu bagi memberikan kekuatan dan keberanian kepada para Hakim Syarie untuk mengaplikasikan perundangan dengan lebih berwibawa.
Pelaksanaan itu sekali gus memartabatkan institusi Mahkamah Syariah. – MalaysiaGazette