Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Timbang Tara (Pindaan) 2024  dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu bertujuan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam komuniti timbang tara antarabangsa dengan menambah baik struktur organisasi Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

RUU yang dikemukakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan meminda Akta Timbang Tara 2005 (Akta 646) selari pelaksanaan Perjanjian Tambahan antara kerajaan Malaysia dengan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika yang berhubungan dengan AIAC di Kuala Lumpur.

Menurut laman web Parlimen, pindaan terhadap Akta 646 itu antara lain bertujuan memasukkan peruntukan mengenai pembiayaan pihak ketiga yang mana ia tidak boleh dikira sebagai berlawanan dengan dasar awam atas alasan maintenance and champerty.

Dengan peruntukan itu, pembiayaan pihak ketiga bagi timbang tara dan prosiding mahkamah yang berkenaan dengan timbang tara tidak lagi dilarang di Malaysia.

Berdasarkan naskhah biru yang dikongsi melalui laman web Parlimen, Fasal 3 bertujuan meminda Seksyen 3 mengenai pemakaian Akta 646 bagi timbang tara dan award berbangkit daripada kemasukan Bab 2 Bahagian III baharu dicadangkan ke dalam akta itu mengenai pembiayaan pihak ketiga.

Melalui pindaan itu, award dibuat berkenaan timbang tara berkenaan hendaklah diiktiraf sebagai mengikat pada awal-awal lagi tanpa memerlukan suatu permohonan dibuat di Mahkamah Tinggi bagi pengiktirafannya.

Fasal 11 bertujuan meminda Seksyen 48 mengenai kekebalan institusi timbang tara dengan memotong sebutan mengenai Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) dalam seksyen itu.

Ia juga mencadangkan beberapa seksyen baharu berhubung pembiayaan pihak ketiga, antaranya seksyen baharu 46c yang bertujuan mengadakan peruntukan bahawa rukun common law menentang maintenance and champerty hendaklah terhenti terpakai berhubung pembiayaan pihak ketiga bagi timbang tara.

Selain Timbang Tara (Pindaan) 2024, Azalina turut membentangkan Rang Undang-Undang Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024 bertujuan meminda Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (Akta 746) untuk memperuntukkan mengenai perubahan nama Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (PTSKL) kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.

Ia supaya selaras pelaksanaan Perjanjian Tambahan antara Kerajaan Malaysia dengan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika mengenai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di Kuala Lumpur bertarikh 20 Februari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast