Seorang Ketua Pegawai Operasi syarikat konsesi lebuhraya direman empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi Selasa selepas terbabit rasuah melibatkan projek Lebuhraya Lembah Klang bernilai RM6 bilion.Ihsan SPRM

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat konsesi lebuh raya direman empat hari sehingga 19 Julai kerana disyaki menerima rasuah melebihi RM300,000 membabitkan pembinaan sebuah projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM6 bilion.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Sumber memberitahu, suspek seorang lelaki yang berusia sekitar 50-an ditahan pada jam sekitar jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek telah menerima rasuah berjumlah melebihi RM300,000 daripada pemilik-pemilik syarikat bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM6 billion,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi telah mengesahkan tangkapan suspek tersebut.

Katanya, SPRM sedang mengendalikan siasatan ke atas suspek di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette