Datuk Dr Ramli Mohd. Nor.

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd. Nor membuat laporan polis terhadap satu akaun Tiktok di mana salah satu video di dalam akaun tersebut telah menfitnah beliau pada 10 Julai lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands menyifatkan  dakwaan yang dibuat oleh akaun Tiktok bernama @apong606 itu adalah sangat tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan berbaur hasutan.

Tegasnya, ucapan yang telah disiarkan itu juga merupakan satu kenyataan yang memalukan serta menjatuhkan maruah beliau sebagai satu-satunya ahli Parlimen yang mewakili masyarakat orang asli.

“Laporan polis pada hari ini adalah di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum serta Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang menyatakan  jika mana-mana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Ramli memberitahu, selain itu, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan dilakukan yang membabitkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang palsu.

“Diharapkan agar pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenyataan-kenyataan berbaur fitnah dan hasutan ini.

“Saya mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama sekali bag masyarakat Orang Asli agar tidak menyebarkan sebarang fitnah melalui platform media sosial masing-masing jika perkara it tidak tepat dan tidak sahih,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast