Ahli keluarga mangsa Nur Farah Kartini tiba di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. Foto SYADILA AMARI, 16 JULAI 2024.

SUNGAI BULOH – Mayat Nur Farah Kartini Abdullah, akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Lereng Bukit, Miri Sarawak, bagi proses pengebumian.

Bagaimanapun, keputusan akhir pengurusan mayat mangsa masih belum diputuskan ahli keluarganya kerana mereka masih menunggu keputusan proses bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Sungai Buloh.

Ahli keluarga turut memaklumkan ibu Allahyarham dijangka  tiba di Kuala Lumpur dari Miri, malam ini.

Sementara itu, bekas kakak iparnya, Nor Amidah Mohd Ali, 36 dari Aman Puri, Kepong berkata, kali terakhir dia menghubungi Nur Farah Kartini pada 5 Jun lalu.

“Ketika itu dia memaklumkan kepada saya dia tercicir dompetnya, saya tanya hilang kat mana tapi tiada jawapan daripadanya,” katanya yang berada di lobi Hospital Sungai Buloh.

Nor Amidah berkata, walaupun dia telah berpisah dengan suaminya namun hubungannya  bersama Nur Farah Kartini sangat baik memandangkan mangsa adalah satu-satunya anak perempuan bongsu daripada tujuh beradik.

“Dia sorang sahaja anak perempuan dalam keluarga dia dan seorang yang sangat bertanggungjawab.

“Selepas tamat pengajian tahun lal, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dia nekad bekerja sambilan di Semenanjung untuk membantu ibu dan neneknya di kampung,” katanya.

Nor Amidah berkata, sebagai individu yang rapat dengan Allahyarham, dia sangat terkejut dengan penemuan mayat bekas adik iparnya itu selepas dia dilaporkan hilang sejak  10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast