Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum bercadang melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana ia bersifat cukai penggunaan yang berasaskan luas selain bukan masa sesuai diperkenalkan semula.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia kerana ketika ini terutamanya rakyat berpendapatan rendah sedang menghadapi cabaran kos sara hidup.

Jelas beliau, kerajaan memberi jaminan hanya akan memperkenalkan cukai yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan, selain menambah baik sistem percukaian sedia.

“Kerajaan belum bercadang melaksanakan GST lagi kerana ia bersifat cukai penggunaan yang berasaskan luas dan ia bukan masa sesuai diperkenalkan semula.

“Sebarang perubahan dasar terhadap sistem percukaian seperti pelaksanaan GST perlu diteliti bagi memastikan ia bersifat progresif, mudah ditadbir, tidak berimpak negatif pada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi serta dapat menjana hasil yang mampan kepada kerajaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) sama ada GST akan diperkenalkan semula kerana hasil kutipannya adalah lebih besar.

Amir Hamzah berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPS 2.0, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meluluskan 141,406 permohonan pengakuan sukarela membabitkan 102,572 bilangan kes pembayar cukai individu.

“Selain itu ia juga membabitkan 27,707 bilangan kes syarikat dan selebihnya kategori lain seperti pertubuhan. Jumlah ini membabitkan taksiran cukai yang dilaporkan sebanyak RM1.29 bilion.

“Jumlah taksiran dibangkitkan didapati melepasi sasaran awal ditetapkan iaitu sebanyak RM1 bilion. Daripada jumlah taksiran itu, sebanyak RM512.6 juta berjaya dikutip,” katanya.

Amir Hamzah berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula menerima 1,542 permohonan pengakuan sukarela daripada pembayar cukai individu dan syarikat, dengan jumlah cukai diikrarkan RM229 juta.

Katanya, jumlah ini juga melebihi sasaran dijangkakan iaitu sebanyak 500 permohonan dengan nilai kutipan cukai berjumlah RM200 juta.

PKPS 2.0 dilaksanakan LHDN dan JKDM dengan tawaran penalti pada kadar sifar peratus bagi pengakuan sukarela yang dibuat oleh individu dan syarikat.

Ia memberi peluang kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada untuk tampil secara sukarela bagi melaporkan pendapatan, pelupusan aset dan stamping dokumen atau perjanjian yang disempurnakan selaras dengan syarat yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast