KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang beliau hanya memberi penjelasan kepada media berhubung pembatalan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.
Kata Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, beliau tidak sesekali berniat untuk memfitnah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Kata Muhyiddin, isu itu hanya timbul kerana pertanyaan beberapa media yang mahu penjelasan mengapa beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM sekitar Mac 2023.
Jelas beliau, isu itu berkaitan dengan projek Jana Wibawa dan pembatalan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.
Malah dakwa Muhyiddin, perkara itulah juga penjelasan beliau ketika siasatan SPRM.
“Saya tidak niat untuk menuduh atau fitnah sesiapa. Saya juga tiada niat untuk mendapat publisiti murahan ataupun cuba mengalih perhatian umum daripada siasatan SPRM terhadap saya.
“Saya hanya jelaskan tentang projek Jana Wibawa yang merupakan inisiatif untuk bantu syarikat bumiputera semasa pandemik Covid-19, Yayasan Albukhary pula mohon kepada saya untuk pengiktirafan pengecualian cukai semula.
“Ketika saya jadi perdana menteri, yayasan kebajikan itu telah memohon kepada saya untuk pengecualian cukai itu diberikan semula. Saya diberitahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf kelulusan pengecualian cukai yang diberikan dahulu sebelum ini,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Roz Mawar Rozain.
Sambung Muhyiddin, beliau difahamkan pengecualian itu telah diberikan ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) namun ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, telah membatalkan pengecualian tersebut.
“LHDN telah batalkan pengecualian yang mana Menteri Kewangannya adalah Lim Guan Eng. Mereka buat keputusan tidak iktiraf pengecualian itu.
“Yayasan itu tidak perlu buat rayuan pada saya jika pengecualian itu masih lagi diterima oleh LHDN ketika PN memerintah,” ujarnya.
Difahamkan surat rayuan daripada Yayasan Albukhary diterima di antara 5 dan 8 Februari 2021 menyatakan pengecualian cukai diberikan di antara 2016 hingga 2018 tetapi LHDN ingin mengenakan semula cukai tersebut.
Muhyiddin sedang memberikan keterangan dalam prosiding masuk hari ke-2 kes saman fitnah terhadapnya oleh Guan Eng atas dakwaan telah mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai.
Semalam kata Guan Eng, beliau tiada pilihan selain menyaman Muhyiddin kerana enggan memohon maaf selepas memfitnahnya berhubung isu pembatalan pengecualian cukai itu.
Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan tiga kenyataan memfitnah yang mana laporan berhubung perkara itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita pada hari sama pada 27 Mac lepas.
Kata Guan Eng dalam tuntutannya, kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan berkenaan, apabila ia tidak patut dikenakan cukai.
Prosiding akan bersambung esok. – MalaysiaGazette