KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan menerokai kerjasama teknologi dan kejuruteraan industri pembuatan dengan Frencken Mechatronics Sdn Bhd.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM akan terus aktif dalam melebarkan sayap kerjasama dengan pihak industri untuk menjulang kecemerlangan akademik dan penyelidikan selari dengan kemodenan industri semasa.
Jelasnya, kerjasama tertumpu dalam pemerkasaan bidang berkaitan kejuruteraan pembuatan, kejuruteraan industri, pembuatan termaju, reka bentuk pembuatan dan bidang lain yang berkaitan.
“Agenda ini turut menyuntik kemajuan penyelidikan, kerjasama teknikal dan pendidikan berterusan yang memberi manfaat besar kepada pelajar dengan memberikan pendedahan kepada aplikasi dunia sebenar pengajian mereka melalui latihan amali, lawatan industri dan ceramah, dan projek kerjasama.
“Pada masa yang sama hubungan ini akan mewujudkan promosi peluang pekerjaan, program latihan, pembelajaran berasaskan kerja (WBL) dan sangkutan untuk pelajar dan kakitangan UTeM di Frencken Mechatronics,” ujarnya.
Sebelum itu UTeM dan Frencken Mechatronics menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM dan Frencken Mechatronics juga akan bekerjasama dalam pembangunan proses dan pengoptimuman pemesinan, kimpalan dan reka bentuk.
“Kerjasama dalam analisis data berhubung dengan kejuruteraan industri dan penyelenggaraan serta kerjasama dalam Internet of things (IoT) atau penyelenggaraan ramalan untuk kecekapan pembuatan,” ulasnya.
Majlis pemeteraian MoU disempurnakan oleh wakil UTeM iaitu Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim manakala pihak Frencken Mechatronics diwakili oleh Pengurus Besar Martin Low Kong Siang.
Majlis tersebut turut dihadiri Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Prof Ir Dr Hambali Arep@Ariff.
Sejurus selesai majlis tersebut pihak Frencken Mechatronics dibawa melawat ke beberapa buah makmal berteknologi tinggi seperti makmal CNC, Robotik dan 3D Printer di FTKIP.-MalaysiaGazette