Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung hukuman denda RM100 yang dikenakan terhadap seorang wanita  di Mahkamah Kuala Lumpur dalam kes buli siber terhadap pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha pada 16 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pertuduhan yang dibuat ke atas wanita berusia 35 tahun itu adalah berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh sewaktu siasatan.

Denda yang dikenakan sebanyak RM100 di mahkamah merupakan hukuman maksimum bagi peruntukkan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Seorang wanita telah dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan penama yang dituduh mengaku bersalah dijatuhkan hukuman RM100.

“Itu denda maksimum, bukan kata mengapa (denda) RM100. Evidence (bukti) yang ada itulah membolehkan pertuduhan Seksyen 14, orang pertikai kenapa kita tuduh seksyen 14, kalau bukti strong (kuat), yang itu sahaja kita tuduh,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita dari Rawang yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.

Majistret Arunjothy M. Selvaraju menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalini Periasamy, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mengulas lanjut, Rusdi menegaskan, pihaknya sentiasa bersedia untuk menyiasat jika menerima laporan dan petunjuk baharu.

“Sama ada wujud bukti atau tidak kita akan rujuk untuk pertuduhan. Mereka yang terlibat akan dipanggil bergantung kepada kesesuai masa,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast