Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menghantar representasi untuk menggugurkan empat pertuduhan rasuah terhadapnya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai lebih RM6 bilion.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, keputusan untuk menolaknya dibuat setelah AGC mengkaji representasi itu.

Ini bermakna kes perbicaraan rasuah yang sedang berjalan ketika ini akan diteruskan.

Perkara itu juga disahkan peguam yang mewakili Guan Eng, Haijan Omar dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Hakim Azura Alwi emudian menetapkan 8 Ogos depan untuk sambung perbicaraan.

Pada Jun lepas, Guan Eng mengemukakan representasi yang menyatakan beberapa alasan termasuk keterangan saksi utama pendakwaan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli kepada mahkamah bercanggah.

Zarul difahamkan memberi keterangan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung kes penipuan ahli perniagaan G Gnanaraja membabitkan RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.

Guan Eng mantan Menteri Kewangan didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Projek itu yang bernilai RM6,341,383,702 perlu dilaksanakan antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast