Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan misi bantuan bagi menaja keluarga Palestin yang menjadi mangs genosid di Gaza.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, misi tersebut dilakukan dengan  kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), MyChild International dan Nur Islam.

Katanya, ia sudah berjalan sejak dua bulan lalu dengan 33 keluarga rakyat Palestin di Gaza telahpun ditaja oleh keluarga di Malaysia.

“Tujuan projek ini adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia membantu keluarga di Gaza dalam beberapa keperluan termasuk perbelanjaan makanan, rawatan, air minum, pakaian dan barangan harian.

“Sejak awal perang, usaha untuk menghantar bantuan kecemasan digerakkan. Bantuan makanan, air minum, ubatan, pakaian, keperluan wanita dan kanak-kanak dikerah ke Rafah.

“Walaupun sukar dapat dipastikan bantuan dapat sampai namun, sehingga kini lebih 100 ton bantuan telah dapat masuk ke Gaza,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Mohd Azmi menyeru rakyat tampil menjayakan projek tersebut  kerana keperluan ratusan ribu keluarga di Gaza sangat kritikal.

Tambah beliau, dengan lebih 300,000 rumah kediaman musnah dibom oleh Israel, kini 1.7 juta warga Gaza menjadi pelarian.

“MAPIM mengusahakan bantuan langsung kepada keluarga yang terjejas. Mereka hidup di khemah dan runtuhan bangunan tanpa sebarang akses kepada bantuan makanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast