Datuk Seri Azlan Man

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini diberitahu bagaimana bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menerima cek berjumlah RM404,990 daripada syarikat pelancongan yang kemudiannya dimasukkan ke akaun Maybank beliau.

Perbuatan itu dilakukan antara 2014 hingga 2015.

Penolong Pengurus Cawangan Maybank Wisma FGV, Hasimah Hashim berkata, kedua-dua cek yang diterima Azlan adalah daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd.

Katanya, cek pertama bernilai RM208,339 pada 2014 manakala satu lagi bernilai RM196,651 pada 2015.

Perkara itu disahkan saksi melalui salinan Borang Pembukaan Akaun Maybank atas nama Azlan dengan jenis akaun persendirian dibuka pada 1985.

“Berdasarkan dokumen ini, saya sahkan akaun ini dibuka pada 1985 di Tuanku Abdul Rahman yang alamatnya didaftarkan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, Jalan Tun Abdul Razak, Perlis. Penandatangan bagi akaun ini adalah Azlan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membaca keterangan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi hari ini.

Hasimah memberi keterangan kes perbicaraan yang masuk hari kedua membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu selain menerima hasil wang aktiviti haram di Mahkamah Sesyen, di sini.

Namun ketika disoal balas oleh peguam Azlan, Burhanudeen Abdul Wahid, saksi bersetuju dokumen pembukaan akaun Maybank itu bukan dokumen asal.

Ini kerana kenyataan Azlan menetap di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis pada 1985 walaupun ketika itu beliau belum lagi memegang jawatan tersebut.

Kata saksi, sejak pembukaan akaun itu pada tahun 1985, pihak bank tidak mempunyai dokumen pertukaran alamat.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shaiful Nasir, apakah maksud dokumen asal, kata saksi, borang pembukaan yang asal tidak ada.

Katanya, apa yang Maybank ada hanyalah pembukaan akaun cetakan komputer dalam sistem Maybank.

“Dokumen dikemukakan bukan dokumen asal pada 1985 tetapi ianya adalah borang pembukaan akaun sah,” ujarnya.

Halim Azura Alwi menetapkan 1 Ogos depan bagi sambung bicara.

Azlan berdepan lima pertuduhan antaranya tuntutan palsu  mencecah lebih RM1.18 juta dan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast