Perbincangan sewaktu lawatan delegasi Republik China yang diketuai China Online Education and Chinese Universities bersama wakil daripada 7 instistusi pendidikan tinggi negara berkenaan ke Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, semalam.

MELAKA – Kecemerlangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di pentas dunia terus menarik minat tujuh universiti dari Republik China untuk menjalin kerjasama strategik sekaligus meneguhkan hubungan dua negara Malaysia dan Republik China.

Perkara itu antara intipati perbincangan bersama hasil lawatan delegasi Republik China yang diketuai China Online Education and Chinese Universities bersama wakil daripada tujuh instistusi pendidikan tinggi negara berkenaan ke Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal semalam.

Ia terdiri daripada Jiangnan University, Northeast Agricultural University, Nanjing University of Finance & Economics, Nanjing Medical University, Gansu Normal University for Nationalities, Guangdong Polytechnic of Technology dan Harbin Institute of Technology, Shenzhen.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, terdapat tiga fokus utama dalam rangka pengisian kerjasama strategik yang diminta oleh rangkaian institusi berkenaan.

Jelasnya, pihak UTeM terharu dengan hasrat dan kesungguhan mereka untuk menjayakan kerjasama berimpak tinggi ini sekali gus mewarnai keunikan dan perkongsian kepakaran bersama di rantau Asia.

Katanya, pertama adalah tertumpu kepada program pengajian dua hala yang memberi tumpuan kepada pertukaran pelajar dalam kedua-dua bidang akademik dan budaya yang mana pelajar dari China berpeluang belajar di UTeM manakala pelajar UTeM pula berpeluang belajar dan menikmati persekitaran pembelajaran di China.

“Fokus kedua adalah projek lawatan sambil belajar tertumpu pada tema penyelidikan khusus seperti pemuliharaan warisan budaya, kajian alam sekitar dan amalan pertanian moden.

“Manakala agenda ketiga berkisar kepada kerjasama penganjuran pameran pendidikan dan seminar akademik yang menghimpunkan cendekiawan dan pakar dari kedua-dua negara untuk berkongsi penemuan penyelidikan, bertukar idea dan memupuk wacana akademik antara 2 negara,” ujarnya dalam kenyataan.

Dalam lawatan dan perbincangan tersebut pihak UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifile Ibrahim yang mewakili Naib Canselor.

Prof Zulkifilie berkata, rentetan itu pihak UTeM turut menyatakan kesediaan untuk membuka ruang pengisian tambahan dalam konteks kerjasama yang lebih melebar dalam beberapa perspektif lagi.

“UTeM menawarkan tambahan pengisian kerjasama dalam empat medium yang lebih pelbagai dan berkait langsung dengan usaha penyerlahan persilangan akademia dan anjakan penyelidikan dua negara.

“Ia melebar kepada kerjasama dalam konteks program ijazah berkembar, Work Base Learning (WBL), pembangunan pusat pembelajaran rantau Asia dan program pertukaran pelajar secara bersepadu,” katanya sewaktu mempengerusikan perbincangan tersebut.

Dalam lawatan berkenaan, pihak delegasi China diketuai oleh Director of International Education, China Education Online (EOL), Prof. Sun Zhixin dan President, Education Association Between Malaysia and China, Prof. Jiang Zhong Qi.

Turut bersama pihak UTeM dalam perbincangan tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Ts Dr Ghazali Omar, dekan-dekan serta Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe), Prof Madya Dr Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast