KUALA LUMPUR – Tidak timbul dakwaan parti komponen Barisan Nasional (BN) didakwa berhasrat mahu meninggalkan gabungan yang berusia 72 tahun itu kerana perselisihan politik dalaman.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ini kerana pihaknya sentiasa mengadakan pertemuan dan berbincang jika sebatang masalah timbul.
“Kita sentiasa mengadakan mesyuarat-mesyuarat Majlis Tertinggi BN, seringkali kita adakan. Jadi tidak ada masalah dari segi parti nak keluar parti nak masuk semua ini.
“Kita sentiasa bersama termasuk dalam hal-hal berkaitan politik dan sebagainya yang seringkali kita bincang secara terbuka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan majlis penutupan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras Tahun 2024 di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan MCA didakwa mahu keluar daripada BN susulan pucuk pimpinan dan akar umbi tidak lagi gembira dengan kedudukan parti terbabit dalam BN. – MalaysiaGazette