Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR- Wanita yang sebelum ini membuat aduan polis didakwa dipukul kekasihnya yang juga seorang pelakon hingga cedera bertindak menarik balik laporan tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar mengesahkan maklumat terbaharu itu selepas dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa menarik semula laporan polis itu pada minggu lalu.

“Benar dan saya boleh sahkan mangsa ada membuat laporan menarik balik aduan dicederakan teman lelakinya pada minggu lalu,” katanya secara ringkas hari ini.

Dalam perkembangan sama, Shahrulnizam menambah kertas siasatan kes yang dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu pula sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk semakan dan arahan selanjutnya.

“Walaupun laporan polis sudah ditarik balik oleh pengadu, kertas siasatan kes ini telah dilengkapkan dan sudah diserahkan kepada TPR pada minggu lalu.

“Kertas siasatan itu ada kepada TPR dan sekarang kita masih menunggu arahan lanjut TPR dalam kes ini.

“Sama ada kes berkenaan akan ditutup atau diselesaikan secara baik berikutan mangsa menarik balik aduan, ia bergantung sepenuhnya kepada arahan TPR,” katanya.

Pada 7 Julai lalu, polis menerima laporan polis daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya dipukul dan dicederakan oleh teman lelakinya yang juga seorang pelakon dalam kejadian pukul 3 pagi di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa kemudian meminta wanita itu untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di kawasan Ara Damansara.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya sebelum secara tiba-tiba teman lelaki memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita itu.

Susulan laporan mangsa, pada 10 Julai lalu, suspek yang berusia 37 tahun tampil memberi keterangan  kepada polis bersama bapanya untuk untuk membantu siasatan lanjut kes tersebut.

Polis dilaporkan turut merakam keterangan mangsa serta kakaknya untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan membawa hukuman penjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast