CYBERJAYA – Malaysia mendukung keputusan bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memihak kepada Palestin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar.
Beliau menjelaskan ini, ini kerana keputusan itu dibuat berdasarkan fakta mengebai keganasan dan kekerasan yang dilakukan Israel secara berterusan.
Menurut beliau, Jemaah Menteri akan bermesyuarat pada Rabu ini untuk meneliti kesan keputusan serta langkah yang akan diambil kerajaan.
“Malaysia tentu mendukung keputusan ICJ itu kerana keputusan itu berdasarkan fakta yang jelas tentang keganasan dan kekerasan Israel yang berterusan.
“Oleh itu akan meneliti cadangan-cadangan serta keputusan daripada keputusan itu dan Mesyuarat Jemaah pada Rabu ini akan membincangkan keputusan muktamad tentang langkah yang akan kita lakukan untuk bersama keputusan ICJ itu untuk mengecam dan bertindakan ke atas Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan bersejarah ICJ yang memihak kepada Palestin yang disampaikan melalui Pendapat Nasihat berkaitan dengan Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, kelmarin.
Semalam, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan, berkata keputusan ICJ itu mengesahkan hujah perundangan Malaysia yang dibentangkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa di mahkamah berkenaan 22 Februari lalu.
“Malaysia menggesa semua negara supaya mendesak Israel menerima dan mematuhi keputusan ICJ dan segera menghentikan segala sokongan mereka kepada Israel daripada meneruskan pendudukan haram di Wilayah Palestin,” katanya.
Sementara itu, keputusan ICJ dengan majoriti yang amat besar memutuskan bahawa pendudukan Israel yang berterusan di wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan harus dihentikan dengan segera.
Semua aktiviti pendudukan baharu harus ditamatkan dan segala kemusnahan diberi pampasan.
“Keputusan mahkamah ini menegakkan hak mutlak rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri. Tindakan dan dasar-dasar Israel didapati melanggar undang-undang antarabangsa,” kata kementerian itu. – MalaysiaGazette