SLIM RIVER – Unit Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menemukan dua anak kunci kereta dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah di Sungai Trolak, Kampung Batu 4, Trolak, Perak hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, pasukan itu menemukan barangan tersebut pada jam 11.20 pagi pada jarak 50 meter daripada jambatan lokasi suspek membuang barang mangsa.
Sejam kemudian, pasukan sama menemukan dompet mangsa pada jarak kira-kira lima meter dari lokasi penemuaan pertama.
Sementara itu ditanya mengenai kandungan di dalam dompet itu, pihak penyelam memaklumkan terdapat kad pengenalan dan gambar pasport mangsa.
Pasukan penyelam menamatkan operasi pencarian pada jam 1 tengahari tadi selepas berpuas hati dengan operasi pencarian barang milik Nur Farah Kartini hari ini.
Terdahulu, tiga kenderaan termasuk dua kenderaan pacuan empat roda tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 10.30 pagi selepas operasi pencarian ditangguhkan pada Jumaat lalu.
Ia susukan paras air sungai yang tidak menentu, deras dan keruh sekaligus menyukarkan untuk pencarian dilakukan.
Pada 15 Julai lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang.
Susulan itu, suspek berusia 26 tahun yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada hari ini, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu membenarkan perintah menyambung reman terhadap suspek selama tujuh hari lagi sehingga 29 Julai depan.
Terdahulu, suspek telah dikenakan reman mulai 16 Julai lepas sehingga hari ini. – MalaysiaGazette