Pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

SUBANG – Pengasas AirAsia – syarikat penerbangan tambang rendah utama ASEAN, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan Lapangan Terbang Subang yang kini dikenali Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) begitu istimewa di hatinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group itu  berbesar hati untuk menyaksikan pemulihan lapangan terbang berkenaan sebagai salah satu pemain utama dalam landskap industri penerbangan di Malaysia.

Menurut beliau, keputusan kerajaan untuk memulihkan LTSASS sebagai hab penerbangan serantau  sejajar dengan misi syarikat untuk terus merevolusikan industri penerbangan.

“Peningkatan trafik udara dan aliran penumpang yang dijana oleh operasi kami akan memberi kesan terhadap industri berkaitan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di rantau ini.

“Pengembangan operasi AirAsia di Lapangan Terbang Subang bukan sahaja bersifat nostalgia malah strategik di mana cabang kejuruteraan Capital A iaitu Asia Digital Engineering (ADE) juga beroperasi di lapangan terbang ini dan dapat meningkatkan kecekapan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat kami,” katanya pada Majlis Perasmiaan Operasi AirAsia di LTSAAS di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan Datuk Kapten Fareh Mazputra sebagai  Pengarah Urusan baharu AirAsia Malaysia.

Tony mengumumkan pelantikan Datuk Kapten Fareh Mazputra sebagai Pengarah Urusan AirAsia Malaysia .

Mengulas lanjut, Tony menambah, pihaknya berbesar hati untuk kembali mengembangkan lapangan terbang pertama kami dan komited untuk memperkukuh syarikat penerbangan ini serta menyumbang kepada kemakmuran komuniti setempat.

Kata beliau, ia adalah langkah yang tepat untuk kemajuan industri penerbangan negara dan pihaknya gembira untuk memacu visi itu.

AirAsia hari ini mengumumkan pengembangan operasinya di Malaysia ke LTSAAS bagi memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terbesar negara berdasarkan rangkaian dan kapasiti.

Pengembangan itu juga melengkapi operasi di hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) yang akan menawarkan para pengembara bukan sahaja kesalinghubungan tambahan malah pilihan perjalanan lebih mudah berikutan lokasinya yang berdekatan dengan pusat bandar.

Operasi AirAsia di Lapangan Terbang Subang akan bermula dengan dua destinasi domestik iaitu Kuching dan Kota Kinabalu sebanyak 14 penerbangan mingguan.

Penerbangan pertama dijadualkan bermula pada 30 Ogos ini menandakan pencapaian penting dalam sejarah syarikat penerbangan tersebut dan inisiatif pemulihan semula Lapangan Terbang Subang.

Sementara itu, AirAsia dilancarkan pada tahun 2001 oleh Tony bersama Datuk Kamarudin Meranun dengan hanya dua buah pesawat di LTSAAS sebelum berpindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setahun kemudian.

Pada 2014, AirAsia memindahkan operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dari LCCT di Sepang selepas lapan tahun beroperasi di sana.

Lebih dua dekad beroperasi, AirAsia telah mengalami pertumbuhan yang menakjubkan sejak dua dekad lalu dan menjadi mendominasi rantau Asia serta mempunyai jumlah lebih 200 pesawat, lebih 40,000 kakitangan di rantau ini.

Kecemerlangan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Asean ini adalah salah satu kisah kejayaan besar industri penerbangan.

Lebih-lebih lagi apabila ia terpaksa menghadapi pelbagai krisis, ditambah pula dengan cabaran kekangan oleh kerajaan tempatan untuk melindungi syarikat penerbangan nasional masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast