KUALA LUMPUR – Polis tetap menjalankan siasatan terhadap kes kehilangan wang daripada akaun simpanan tetap membabitkan sebuah bank di Kuala Kangsar, Perak meskipun suspek sudah meninggal dunia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik akaun bank yang dipindahkan wang berkenaan.
“Meskipun suspek utama yang juga kakitangan bank berkenaan sudah meninggal dunia, siasatan kes ini tetap akan diteruskan.
“Ini kerana kami mahu melakukan siasatan secara menyeluruh kes itu termasuk menyiasat akaun bank yang dipindahkan wang (mangsa) serta modus operandi suspek,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, polis menyiasat kehilangan wang berjumlah lebih RM2 juta daripada dua akaun tetap di sebuah bank di Kuala Kangsar, Perak.
Perkara berkenaan disedari pemilik akaun ketika mahu membuat pengeluaran apabila mendapati wang mereka dikeluarkan dan akaun ditutup.
Siasatan dalaman bank mendapati, salah seorang petugasnya melakukan pengeluaran wang berkenaan.
Bagaimanapun, kakitangan bank berkenaan ditemui meninggal dunia pada 5 Julai lalu. – MalaysiaGazette