Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menepis spekulasi  berlaku pertukaran jawatan yang disandang Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo.

Jelas Kon Yeow, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan sebelum ini dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu kini  dalam proses cuti bagi menjalani pembedahan pada kaki kiri.

“Jagdeep telah berjumpa dengan saya pada 19 Julai lalu bagi mengemukakan surat permohonan cuti untuk kelulusan saya.

 “Sebagaimana penjelasan beliau, tujuan permohonan cuti yang dimohon adalah untuk membolehkannya menjalani pemeriksaan dan berkemungkinan memerlukan prosedur pembedahan pada kaki kiri yang memperuntukkan kepakaran serta pemeriksaan lanjut daripada pakar perubatan secepat mungkin.  

“Setelah mempertimbangkan penjelasan serta tujuan permohonan cuti Jagdeep, saya telah memberi kelulusan cuti selama 11 hari bekerja bermula 22 Julai sehingga 5 Ogos depan sebagaimana dimohon oleh beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kon Yeow, pihaknya dimaklumkan Jagdeep telah pun menerima rawatan yang diperlukan semalam.

“Berhubung spekulasi bahawa akan berlakunya pertukaran jawatan yang disandang beliau kini, ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

“Dengan ini, saya dan juga seluruh jentera barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendoakan supaya Jagdeep cepat sembuh dan kembali bersama-sama meneruskan agenda pembangunan negeri demi kepentingan seluruh rakyat di sini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Jagdeep nafi diarah bercuti daripada tugas

Media semalam melaporkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo menafikan dakwaan beliau diminta bercuti daripada menjalankan peranannya dalam pentadbiran negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat berkata, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memberi kelulusan untuk beliau bercuti bagi rawatan lanjut membabitkan sakit bahagian buku lali. – MalaysiaGazette