Kebakaran yang berlaku di rumah kongsi di Wangsa Maju, hari ini. Gambar: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Sebanyak 56 unit kontena yang dijadikan sebagai rumah kongsi di Wangsa Maju di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, M Letchumanan berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.08 pagi.

Katanya, seramai 21 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Keramat bergegas ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, terdapat kebakaran membabitkan rumah kongsi jenis kontena serta tempat simpanan barangan pekerjaan.

“Operasi pemadaman segera dilakukan bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran.

“Sebanyak 56 unit kontena terbakar 100 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Seorang anggota bomba bertungkus lumus memadam api dalam kebakaran di Wangsa Maju, hari ini.

Menurut Letchumanan, kebakaran dapat dikawal pada pukul 10.27 pagi dan api berjaya dikawal sepenuhnya pukul 12.02 tengah hari.

“Tiada mangsa yang terbabit ketika kebakaran manakala punca kebakaran masih dalam siasatan unit penyiasatan kebakaran,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast