Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi

KUALA LUMPUR- Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi akan memastikan Sukan Olimpik 2024 di Paris bukan yang terakhir dalam kariernya.

Malah pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki dengan 10.9 saat (s)  yang akan beraksi di Paris 2024 atas tiket wildcard tekad untuk layak secara merit pada edisi Los Angeles 2028 (LA2028).

“Siapa tahu mungkin pada ketika itu (LA2028) ada rezeki lebih besar… Selagi beraksi di Olimpik itu jadi matlamat supaya boleh menimba pengalaman bukan sahaja untuk saya sendiri tetapi untuk negara,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima tajaan barangan keperluan pertandingan di temasya Olimpik Paris 2024 oleh Mizuno di Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Dalam pada itu, atlet berusia 20 tahun itu dijadual berlepas ke Paris pada Ahad ini untuk membuat penampilan sulungnya di Olimpik dalam acara 100m di Stade de France bermula 3 Ogos ini.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard enggan memikiran soal kehadirannya di Paris 2024 yang menjadi pertikaian beberapa pihak ketika ini.

Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, misi utamanya di sana hanya untuk membantu Azeem berada dalam prestasi terbaiknya  pada temasya sukan paling berprestij itu.

Ballard pada masa sama berkata beliau sering berhubung dengan jurulatih Azeem, Ken Harnden, dengan menghantar analisis serta video sepanjang anak buahnya menjalani latihan di dalam negara.

Menurutnya beliau mahu memastikan Azeem memperoleh pengalaman positif dan motivasi di pentas Olimpik.

Sukan Olimpik 2024 akan dibuka secara rasmi Jumaat ini dan berakhir 11 Ogos ini.

–BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast