KUALA LUMPUR – Isu jenayah dalam talian menjadi satu perkara yang sangat membimbangkan.
Malah trend itu menunjukkan jenayah tradisional telah mula ‘berpindah’ ke alam siber termasuk media sosial, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menerusi catatan terbaru di Facebook, Fahmi memaklumkan beliau mendengar taklimat berhubung isu tersebut daripada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain serta seorang timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pagi tadi.
“Insya-Allah kita akan usahakan yang terbaik untuk memastikan internet termasuk media sosial lebih selamat untuk semua,” katanya.
Terdahulu, Fahmi sebelum ini memberitahu, terdapat keperluan untuk meneliti kewujudan akta baharu berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian seiring dengan perkembangan pesat teknologi. – Malaysiaazette