JAKARTA – Jasad pemain badminton China, Zhang Zhi Jie, yang meninggal dunia di gelanggang sewaktu dalam perlawanan Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, pada 30 Jun lalu, masih belum dituntut oleh pihak keluarganya.
Portal berita Kompas.com melaporkan, sehingga semalam, sudah masuk 24 hari jasad atlet China yang mengalami masalah jantung terhenti itu tersimpan di Hospital RSUP Dr Sardjito, Sleman, Yogyakarta.
Jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy, juga telah mengesahkan bahawa jasad Zhang Zhi Jie masih berada di RSUP Dr Sardjito hingga Rabu (24 Julai).
Bagaimanapun menurutnya, pihak keluarga telah meminta agar jasad Zhang Zhi Jie tetap berada di hospital itu untuk sementara waktu.
“Benar, hingga kini jasad Zhang Zhi Jie masih di RS Sardjito Yogyakarta. Maklumat yang diterima daripada panitia pelaksana setempat, pihak keluarga meminta tempoh satu minggu lagi untuk mengambilnya,” katanya kepada Kompas.com. – Agensi