Foto: Polis Johor

JOHOR BAHRU – Tiga sindiket curi kenderaan mewah berjaya ditumpaskan selepas lapan individu ditahan menerusi Ops Lejang yang dijalankan Polis Johor bermula 21 Jun hingga Ahad lepas.

Ketua Polis Johor, CP M Kumar berkata, ketiga-tiga sindiket terbabit merupakan antara lapan sindiket curi pelbagai jenis kenderaan yang berjaya ditumpaskan pihaknya menerusi operasi bersepadu itu.

“Kesemua sindiket curi kenderaan mewah ini bergiat aktif sejak kira-kira enam bulan lepas dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi.

“Mereka akan mengenal pasti kenderaan yang hendak dicuri sebelum memasang alat pengesan untuk diekori.

“Setelah memastikan kenderaan itu berada di lokasi sesuai, ahli sindiket akan bergerak dalam kumpulan kecil seramai dua atau tiga orang untuk melakukan jenayah itu dalam tempoh kira-kira 30 saat sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, apabila pintu kenderaan berjaya dibuka, mereka menggunakan alat untuk menghidupkan enjin selain turut menggunakan ‘penyekat’ bagi menghalang signal sistem penentududukan sejagat (GPS) daripada kenderaan itu dikesan.

Kumar berkata, sindiket curi kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Chery itu akan menggunakan laluan darat untuk membawa kenderaan itu ke luar negara sebelum diedarkan kepada pembeli.

Sejak Januari tahun ini sehingga kini, Polis Johor telah menerima 69 laporan melibatkan kecurian kenderaan mewah dengan nilai kerugian sebanyak RM8.8 juta, tambah beliau.

Berhubung lima lagi sindiket yang berjaya ditumpaskan dalam operasi bersepadu itu, pihaknya telah menahan enam individu melibatkan dua sindiket curi kenderaan lama dan 10 lagi tangkapan membabitkan tiga sindiket curi motosikal.

“Sepanjang Ops Lejang dijalankan, 116 orang termasuk enam warga asing ditangkap atas pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 59 tahun dengan 112 daripadanya lelaki manakala empat yang lain perempuan,” katanya.

Kes-kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan; Seksyen 411 dan 414 Kanun Keseksaan; Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil; serta Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast