Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengeluarkan kenyataan secara tuntas berhubung isu sumbangan dana kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang melibatkan sebuah syarikat minuman keras.

Ini kerana, ia melibatkan sensitiviti pendidikan negara berkenaan normalisasi arak di peringkat sekolah, kata Aktivis Politik, Shahir Adnan.

“Dikhabarkan bahawa Konsert Amal Pendidikan Cina Tiger-Sinchew pertama kali dilancarkan pada tahun 1994.

“Ini bermakna ramai menteri pendidikan dari tahun 1994 hingga sekarang mengetahui akan isu ini.

“Tidak kira dari era menteri Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional atau Kerajaan Perpaduan Madani hari ini, apa yang penting adalah memperbetulkan yang salah dan kira perlu bergerak ke hadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, meskipun menerusi kenyataan syarikat arak tersebut bahawa mereka tidak menderma kepada sekolah berkenaan secara langsung namun, syarikat pembuat bir itu bertindak sebagai penaja untuk menanggung kos para penghibur, pencahayaan, pentas dan perbelanjaan lain.

Katanya, agak pelik, penderma secara tidak langsung itu mendapat publisiti utama apabila tertera nama syarikat mereka di atas cek sumbangan serta nama syarikat menjadi tajuk utama konsert.

“Menerusi laporan portal berita, bir dijual pada persembahan untuk tetamu membeli pada acara berkenaan dengan sekolah menerima keuntungan daripada penjualan bir tersebut.

“Adakah ini juga dikira sebagai sumbangan tidak langsung?” ujarnya.

Menurut Shahir lagi, KPM mengumumkan satu siasatan dan mengingatkan semua pentadbir sekolah untuk mematuhi Pekeliling Bil 3 Tahun 2018.

Jelasnya, Klausa 7.3 pekeliling itu menetapkan bahawa sekolah dilarang menerima sumbangan dari hasil perjudian, tembakau, dadah, minuman beralkohol, dan aktiviti serupa kerana ia mungkin menjejaskan perkembangan pelajar.

“Diharapkan Kabinet Kerajaan Madani tidak membuat pindaan kepada garis panduan sumbangan Kementerian Pendidikan untuk mengecualikan sekolah Cina daripada sekatan penajaan hasil perjudian, tembakau, dadah, minuman beralkohol, dan aktiviti serupa.

“Ini bukan soal sekolah Cina, Melayu atau India. Ini adalah soal normalisasi penajaan tersebut di peringkat sekolah di mana anak-anak menjadi taruhan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast