Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diseru mendesak Federasi Bolasepak Antarabangsa (FIFA) supaya usul pengharaman Israel dalam semua liga bola sepak di peringkat antarabangsa diluluskan segera.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah itu diambik disebabkan jenayah genosid dan apartheid yang dilakukan Israel telah didokumenkan dengan meluas.

Malah, Israel turut dibuktikan sebagai penjenayah nombor satu dunia  yang merupakan ibu kepada segala jenayah genosid.

“Baru-baru ini FIFA sendiri menangguh undian untuk meluluskan usul itu sehingga selepas acara Olimpik  untuk mengharamkan Israel dalam acara pertandingan bola sepak dunia .

“Ini menandakan, FIFA cuba melindungi Israel dari bertanggungjawab terhadap jenayah genosid di Gaza.

“FIFA nampaknya menjamin pasukan bola sepak Israel boleh  menyertai pertandingan di Paris sementara Israel meneruskan genosid ke atas 2.3 juta rakyat Gaza dan melakukan jenayah pembunuhan sukan Palestin,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi berkata, dalam beberapa hari lalu, Israel telah membunuh pemain bola sepak Palestin di Gaza iaitu Sayeed Yousef Odeh, Yazan Al-Sarsawi dan Shadi Abu Al-Arraj.

“Ini termasuk pengeboman yang dilakukan pada 9 Julai lalu terhadap sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang melindungi pelarian di Gaza ketika kanak-kanak sedang bermain bola sepak hingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh.

“Israel juga telah mengebom sembilan buah sekolah yang menjadi pusat melindungi warga Gaza dalam beberapa hari lalu selain, membunuh sekurang-kurangnya 240 pemain bola sepak Palestin termasuk 67 kanak-kanak  dari akademi bola sepak Gaza, katanya.

“Israel telah menyasar dan memusnahkan 49 fasiliti sukan Palestin termasuk stadium, bangunan kelab dan ruang sukan.

“Stadium-stadium di Gaza kini diduduki tentera Israel dan ditukar menjadi pusat tahanan dan penyiksaan warga Gaza yang ditangkap,” ujarnya.

Justeru MAPIM menyeru FAM mengundi di FIFA untuk mengharam Israel dari arena bola sepak antarabangsa.

“FIFA sepatutnya sudah lama menyekat penyertaan Israel dari sukan paling popular di dunia iaitu bola sepak yang mewakili dan diikuti ratusan juta peminat.

“Dengan melindungi israel dari akauntabiliti jenayah genosid , FIFA mengizinkan Israel mendapat kekebalan dan bebas dari dakwaan undang-undang terhadap sistem apartheid, jenayah perang dan jenayah keatas kemanusiaan di Palestin sejak 75 tahun yang lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast