Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerangka kawal selia baharu berkaitan Internet selamat untuk kanak-kanak dan keluarga akan diperkenal pada 1 Ogos ini dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet perlu mematuhi undang-undang Malaysia bagi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Menerusi kerangka baharu itu, semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Kerangka kawal selia baharu ini hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna,” menurutnya menerusi kenyataan, hari ini.

SKMM berkata, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.

“Langkah ini bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman yang lebih baik untuk pengguna terutama kanak-kanak dan seisi keluarga,” ujarnya.

Suruhanjaya itu memaklumkan sebelum ini, platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast