KUALA LUMPUR – Seramai 8,000 orang peserta telah mengesahkan penyertaan mereka pada PJ Half Marathon edisi ke-34 yang bakal berlangsung 18 Ogos ini.

Penyertaan peserta luar negara menyaksikan peningkatan ketara, yang mana lebih 250 peserta dari 38 buah negara luar telah mendaftar.

Ini membuktikan prestij acara PJ Half Marathon 2024 semakin meningkat serta mampu menarik lebih ramai pelari antarabangsa.

Edisi kali ini juga menyaksikan pendaftaran penyertaan ditutup lebih awal dari yang disasarkan berikutan sambutan hangat.

PJ Half Marathon dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Puncak Ventures SRA Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Olahraga Para Selangor (POPS).

Acara larian tahunan ini mempertandingkan lima kategori ini iaitu larian 30 kilometer (km) terbuka, 21km terbuka, 10km terbuka, 5km Fun Run serta 1km Fun Run bertemakan Anime yang juga acara baru diperkenalkan.

MBPJ berkata, sepanjang acara itu, Polis Daerah Petaling Jaya akan membuat kawalan trafik secara berperingkat bermula jam 4 pagi di jalan-jalan yang terlibat.

Seramai 100 orang polis trafik serta 80 orang pegawai penguatkuasa MBPJ akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas bagi menjamin kelancaran serta keselamatan PJ Half Marathon untuk semua sama ada peserta mahupun orang awam.

Penganjur menyarankan kepada semua peserta untuk meletakkan kenderaan di kawasan petak parkir berhampiran PJ State serta tidak meletakkannya di bahu-bahu jalan agar tidak mengganggu lalu lintas pada hari acara berlangsung. – MalaysysiaGazette