PUTRAJAYA – Banci Ekonomi 2023 telah mendedahkan beberapa penemuan penting yang menunjukkan peralihan ekonomi yang dinamik dalam tempoh tujuh tahun lalu sejak 2015.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia sejajar dengan prestasi perdagangan barangan Malaysia yang menunjukkan pertumbuhan esport yang kukuh dalam tempoh itu dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 10.4 peratus.
Menurut beliau, kadar itu melonjak kepada RM1,550 bilion pada 2022 berbanding 2015 sebanyak RM777.5 bilion dengann penemuan itu menunjukkan perniagaan menyesuaikan dengan trend global dan kemajuan teknologi, mencerminkan perubahan ketara dalam penggunaan, perdagangan dan corak perbelanjaan.
“Di dalam aktiviti berkaitan dengan teknologi dan pendigitalan, perkhidmatan telekomunikasi tanpa wayar meningkat sebanyak 12.5 peratus berbanding 2015.
“Dan aktiviti pembinaan bangunan bukan kediaman yang berkaitan dengan pusat data meningkat sebanyak 35.4 peratus dirangsang oleh pembinaan pusat data dalam sektor pembinaan.
“Dalam trend yang sama pentingnya, industri pembuatan bateri dan akumulator di dalam sektor juga menyaksikan peningkatan bilangan pertubuhan menyelusuri gelombang trend global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi 2023 yang disempurnakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini hari ini.
Mohd. Uzir menambah, pilihan pengguna juga dilihat memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia yang ditunjukkan dalam banci tersebut.
Katanya, industri seperti penanaman durian, pemungutan sarang burung, penternakan lebah, pengeluaran hasil madu dan lilin lebah mencapai tahap baharu didorong oleh peningkatan permintaan global ke atas produk pertanian tempatan.
“Sementara itu, peningkatan dalam penggunaan kopi telah memupuk ‘budaya kafe kopi’ menunjukkan peningkatan pemain pasaran kepada rekod 5,021 dengan nilai ditambah RM1.9 bilion pada 2022.
“Tambahan pula, industri inap desa telah menjadi penginapan alternatif yang semakin popular dengan pertumbuhan sebanyak 79.3 peratus dalam tempoh tujuh tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan Banci Ekonomi Keseluruhan Sektor, Malaysia 2023 yang memaparkan statistik yang diperoleh daripada Banci Ekonomi 2023 bagi tahun rujukan 2022 untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai struktur ekonomi berikutan krisis kesihatan dan kegawatan geopolitik.
Banci itu meliputi keseluruhan aktiviti ekonomi dalam sektor Pertanian, Perlombongan & pengkuarian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.
Statistik utama yang berkaitan dengan output kasar, input perantaraan, nilai ditambah, pekerja, gaji dan upah, harta tetap dan pertubuhan milikan wanita dilaporkan pada peringkat nasional dan negeri. – MalaysiaGazette