Mohd Rizwadi Ismail
Mohd Rizwadi Ismail

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memilih Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

“Calon yang diketengahkan oleh PN adalah merupakan seorang aktivis yang bergiat aktif dalam politik Gua Musang. Antara jawatan yang pernah dipegang oleh beliau adalah Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang.

“Mengambil kira ukhuwah yang teguh serta kepentingan strategik PN dan berasaskan komitmen untuk mendapat kemenangan besar dalam PRK Nenggiri.

“Beliau menyertai Bersatu dengan semangat idealisme perjuangan demi masa depan masyarakat Nenggiri,” kata Mohd Nassuruddin di di Markas Tarbiah Pas Gua Musang di Kampung Renok Baru, Kelantan hari ini.

Mohd Rizwadi, 41, yang juga Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah ahli Bersatu dan akan bertanding mengunakan lambang Pas.

Hadir sama adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan naib presidennya, Datuk Radzi Jidin.

Turut hadir Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Perhubungan PN Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya yakin Mohd Rizwadi akan diterima kerana pencalonan beliau telah mendapat persetujuan kepimpinan Pas negeri dan Bersatu.

“Seorang calon yang diterima baik oleh Pas dan Bersatu kawasan, calon ini boleh kita sandarkan dan jadi ahli Bersatu, baru-baru ini,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman calon tersebut.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Azmawi Fikri Abdul Ghani pada PRK 17 Ogos ini.

Kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Kelantan, berikutan pemberhentian keahlian penyandangnya, Azizi Abu Naim, dalam BERSATU pada 13 Jun lalu, selepas Ahli Parlimen Gua Musang itu berikrar menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November tahun lalu.

SPR menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette