KUALA LUMPUR – Seorang wanita ditahan selepas semakan cap jarinya disahkan positif dengan kes pecah pejabat, di sebuah rumah di Taman Ukay Perdana, Ampang pada 20 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tangkapan ke atas suspek berusai 35 tahun yang tidak bekerja itu dibuat di Pangsapuri Sri Impian, Ampang pada 27 Julai lalu.
“Pengadu menyedari kejadian itu ketika hendak mengambil surat di pejabat. Sebaik tiba di sana, pengadu mendapati telinga pada pintu grill telah dipotong dan kunci pada tombol pintu kayu sudah diumpil.
“Pemeriksaan pengadu di dalam pejabat mendapati, satu unit penghawa dingin bersama empat paip tembaga termasuk beberapa wayar elektrik telah hilang kerana dicuri.
“Pengadu percaya pejabat telah dipecah masuk dan hasil siasatan di lokasi kejadian berjaya menimbulkan empat cap jari pada penutup penghawa dingin di dalam premis. Jumlah kerugiaan dianggarkan RM1,500,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Mohd Azam, semakan lanjut mendapati, suspek mempunyai lima rekod lampau tidak dikehendaki melibatkan kes jenayah narkotik dan hasil saringan air kencing mengesahkan suspek negatif dadah.
“Reman tangkapan ke atas wanita itu telah dibenarkan tujuh hari bermula kelmarin hingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette